Ada sebab mengapa terlalu ramai beri rasa peduli terhadap bidadari syurga Siti

Ada sebab mengapa terlalu ramai beri rasa peduli terhadap bidadari syurga Siti

Loading...
Ada sebab mengapa terlalu ramai beri rasa peduli terhadap bidadari syurga Siti

SEPERTI mana seantero Nusantara bergembira ketika Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi tentang kehamilannya sekitar penghujung tahun lalu, suasana yang serupa turut dirasai saat penyanyi nombor satu negara itu mengumumkan tentang kelahiran cahaya mata sulungnya semalam.
Tidak keterlaluan dikatakan, kelahiran puteri kecil itu barangkali menjadi kelahiran yang paling ditunggu-tunggu, baik buat kaum kerabat Siti, mahupun khalayak yang telah lama menanti.
Ada sebab mengapa terlalu ramai memberikan rasa peduli terhadap berita gembira ini. Selain Siti yang masih memegang status sebagai penghibur nombor satu negara, kelahiran tersebut juga telah memakbulkan bait-bait doa wanita berusia 39 tahun itu yang selama ini berhasrat untuk menimang cahaya mata selepas hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).
Menyambut ketibaan ‘bidadari syurga’nya dengan penuh kesyukuran, Siti menerusi kemas kini di Instagram merakamkan rasa terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu mengirim ucapan tahniah kepadanya.
“Alhamdulillah atas kurniaan Allah. Terima kasih atas ucapan-ucapan tahniah.
“Dengan penuh rasa rendah hati, saya dan suami ingin menzahirkan rasa terharu dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah mendoakan kami. Syukur ya Allah,” luah Siti.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pengurus dan juga kakak iparnya, Rozi Abd. Razak, Siti melahirkan bayinya yang seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada pukul 8.17 pagi.
Memilih tanggal 1 Rejab yang jatuh pada 19 Mac sebagai tarikh kelahiran, Rozi berkata, tarikh tersebut dipilih sempena hari kelahiran junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW.
“Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini, hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan untuk melawat.
“Suami beliau, Datuk K juga turut melahirkan rasa syukur atas kelahiran cahaya mata pertama mereka,” katanya.
Rozi menambah, buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat bagi menumpukan perhatiannya pada hari-hari awal bergelar ibu.
Biarpun memohon sedikit waktu sebelum mengumumkan nama dan wajah anaknya kepada khalayak, Datuk K pula mendedahkan, buat masa ini nama Fatimah Az-Zahra dipilih sebagai panggilan buat puteri mereka.
“Untuk tempoh seminggu ini, sebelum nama sebenar diumumkan, kami sepakat memilih nama Fatimah Az-Zahra untuk bayi yang baru lahir ini.
“Insya-Allah kami akan umumkan seminggu dari sekarang. Sebetulnya, pilihan nama sudah ada dan akan diumumkan pada majlis yang akan kami anjurkan kemudian,” kata Khalid.
Berkongsi rasa terharu, anak lelaki Khalid, Asyraf Khalid meluahkan rasa gembira apabila impian ibu tirinya untuk menimang cahaya mata akhirnya terlaksana.
Umum tahu, Siti pernah mengalami keguguran sekitar tahun 2015 dan hanya kembali hamil sekitar pertengahan tahun lalu setelah usaha untuk mendapatkan anak dilakukan menerusi rawatan In Vitro Fertilization (IVF).
“Saya sendiri menyaksikan kegagalan demi kegagalan yang pernah dialami oleh Mak Iti (panggilan Asyraf kepada Siti) dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata. Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk mencuba.
“Alhamdulillah, akhirnya apa yang dihajati Mak Iti telah dicapai. Sebagai keluarga, saya tumpang gembira dan berasa sangat terharu,” katanya.
Kehidupan Siti kini semakin berseri. Zuriat yang selama ini dinanti telah hadir dalam pelukan, menanti untuk ditimang dan disayangi.
Bergembira dan berbahagialah. Ternyata, rezeki itu tidak pernah salah alamat.
Selagi harapan dilanjutkan dengan usaha, insya-Allah, sampai masanya setiap yang dipohon dalam doa akan dimakbulkan oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Tahniah, Siti. 
– IZWAN MOHD. ISA

Catat Ulasan

0 Ulasan