Peristiwa Menakutkan DiHutan Simpan Endau Rompin

Peristiwa Menakutkan DiHutan Simpan Endau Rompin

Loading...
                                 
Kesan tapak kaki berlumpur bersaiz besar yang ditemui berhampiran hutan simpan Endau Rompin menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.


JOHOR BAHRU: Sesuatu yang aneh apabila tiga pasang tapak kaki berlumpur, yang pertama kelihatan seperti tapak kaki harimau, kedua kelihatan seperti tapak kaki gajah dan yang ketiga menyerupai tapak kaki manusia tetapi dengan saiz besar ditemui.

Jejak dan kesan tapak kaki yang menjangkau hampir 1km berhampiran hutan simpan Endau Rompin membuatkan pesara Sia Chwee Khim, 64, dan suaminya Lim Teong Kheng, 66, hairan dan sangat teruja.

Mereka percaya kesan tapak kaki yang ketiga mungkin kesan tapak kaki 'Bigfoot' yang selama ini menjadi cerita mitos.

Pasangan itu, bersama dengan anak perempuan mereka Joanna, 30, dan sekumpulan rakan-rakan dari Singapura mengambil keputusan untuk menjejaki trek kesan tapak kaki yang ditemui sepanjang lebih dari 1km pada 10 Mei.

"Ia sangat mengejutkan. Makhluk itu telah berjalan di dalam tanah merah lembap dan kemudian ke jalan tar, meninggalkan jejak yang jelas untuk kita lihat," kata Sia, sambil menambah kumpulan itu telah mengambil gambar banyak dan mengukur tapak kaki yang besar yang mempunyai ukuran kira-kira 48cm panjang dan 11cm lebar.

"Kami cuba untuk meniru langkah dan jangkauannya tetapi kaki kami tidak mampu disesuaikan dengan jarak langkah itu.




"Kami juga menolak kemungkinan kesan itu ditinggalkan oleh gajah kerana ia agak bujur, seperti kaki manusia, dan mempunyai empat jari kaki runcing yang menonjol," katanya.

Kumpulan itu sedang menuju ke Endau Rompin apabila mereka menemui kesan aneh itu.

Sia menjelaskan bahawa apa yang membingungkan kumpulan itu apabila kesan tapak kaki yang dikatakan daripada 'Bigfoot' itu turut disertai kesan tapak kaki gajah dan harimau.

Pengarah Perhilitan Negeri Hasnan Yusop berkata sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan kesan tapak kaki dan membuat kesimpulan bahawa ia mungkin kesan tapak kaki gajah.

"Boleh jadi gajah yang lembab berjalan dengan mengheret kaki meninggalkan kesan dan jangkauan yang panjang," katanya.

Mengenai bekas tapak kaki gajah dan harimau, Hasnan berkata tidak semestinya haiwan itu bergerak bersama-sama tetapi boleh jadi menggunakan laluan yang sama pada masa yang berlainan.

Kali terakhir Bigfoot menjadi tajuk berita ialah pada yang tahun 2005 apabila sekumpulan pekerja mendakwa telah melihat makhluk berbulu yang besar di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Para pekerja cuba untuk mengejar makhluk itu tetapi gagal.

Mereka juga dilaporkan menemui tapak kaki yang besar berukuran antara 40cm dan 50cm di dalam lumpur.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Vincent Chow berkata beliau menerima berita mengenai tapak kaki Bigfoot pada hari yang sama sambil menambah adalah agak mustahil perkara ini adalah gurauan kerana tapak kaki ini mempunyai jarak lebih daripada 1km.

"Boleh jadi ia kaki primat berkaki dua tegak yang belum pernah ditemui sesiapa," kata beliau sambil menambah terdapat banyak penemuan tapak kaki haiwan seperti ini terutama oleh penduduk tempatan, tetapi pihak berkuasa sering tidak mengambilnya sebagai perkara serius.

`Bigfoot' dipercayai wujud di hutan Johor

                                     

JOHOR Bahru 23 Dis. - Ia dipanggil dengan pelbagai nama, antaranya ``Bigfoot'', ``Orang Mawas'' atau ``King Kong'' dan kewujudannya sering dianggap sebagai mitos tetapi bagi mereka yang pernah terserempak dengan makhluk tersebut, ia bukan lagi suatu bahan khayalan.

Penasihat Persatuan Alam Malaysia (MNS) Johor Vincent Chow berkata, beliau yakin dengan kewujudan ``Bigfoot'' di hutan Johor dan ia dibuktikan dengan beberapa insiden orang ramai terserempak dengan makhluk itu.

``Ia (Bigfoot) memang wujud. Kami menerima banyak maklumat tentang insiden manusia terserempak dengan makhluk itu seperti di kawasan hutan di Tanjung Piai, Mersing, Kahang, Taman Negara Endau Rompin dan Kota Tinggi.

``Ia (insiden terserempak) bukanlah sesuatu perkara yang baru. Malah saya menganggapnya (Bigfoot) sebagai suatu perkara unik dan khazanah fauna hutan Johor. Kita perlu mengambil langkah untuk melindunginya,'' katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut Chow, dalam insiden terbaru bulan lepas di Kampung Mawai, Kota Tinggi, tiga orang pekerja yang sedang membina kolam ikan di kampung tersebut mendakwa terserempak dengan satu keluarga makhluk itu.

Pekerja tersebut katanya mendakwa, keluarga ``Bigfoot'' yang mereka lihat itu terdiri daripada dua dewasa dan satu anak dan membuktikan teori bahawa makhluk ini tidak mempunyai suatu komuniti tetapi bergerak di dalam satu keluarga.

Selepas insiden itu, para pekerja kolam ikan tersebut kembali semula ke tempat kejadian di mana mereka telah menemui kesan tapak kaki makhluk bersaiz kecil dan besar, sepanjang 45cm, menurutnya.

``Kewujudan kesan tapak kaki pelbagai saiz itu membuktikan kemungkinan apa yang mereka (pekerja) lihat itu sememangnya satu keluarga `Bigfoot'. Dakwaan mereka tentang penemuan itu adalah berwibawa,'' kata Chow.

Beliau menganggarkan bahawa makhluk tersebut mempunyai ketinggian di antara lapan hingga 10 kaki berdasarkan kepada ketinggian bahagian ranting pokok yang patah di tempat makhluk itu ditemui dan memiliki bulu berwarna keperangan berdasarkan penemuan bulu dipercayai milik haiwan itu.

``Bulu yang ditemui itu juga memiliki bau seakan-akan bau ketiak manusia,'' katanya.

Penasihat MNS Johor itu juga berkata, beberapa insiden penemuan Orang Asli Empan a/p Melai, 5, yang hilang selama enam hari di Hutan Simpan Lenggor awal bulan ini ketika bersama-sama keluarga mencari rotan di hutan itu.

``Adik saya nampak `King Kong', tinggi dan lengannya besar, sebesar batang pokok dan berbulu hitam. Dia lari apabila nampak (King Kong) itu,'' kata abangnya Awin a/l Sentok, 25, kepada pemberita di Balai Polis Daerah Kluang selepas adik serta dua sepupunya berumur empat tahun itu ditemui oleh pasukan penyelamat.

Chow berkata, pihak MNS Johor bersedia untuk menjalankan kajian saintifik mengenai kewujudan ``Bigfoot'' di hutan negeri itu bagi memperoleh lebih banyak data terperinci tentang haiwan itu.

Data yang lebih terperinci tentang makhluk itu katanya, akan membolehkan usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan ``Bigfoot'' yang turut dikenali sebagai ``Hantu Jarang Gigi'' oleh masyarakat Orang Asli di situ.

Beliau juga berharap, Jabatan Antropologi universiti-universiti tempatan dan kerajaan negeri Johor turut serta dalam kajian saintifik itu.

``Ia (Bigfoot) boleh menjadi tarikan besar pelancong ke negeri Johor,'' kata Chow sambil menambah, isu sama ada makhluk itu benar-benar wujud atau tidak merupakan ``suatu yang amat besar'' di Eropah dan Amerika Syarikat.

p/s  untuk pengetahuan akak anak beranak pernah dikejar hantu golek ketika melalui kawasan hutan simpan ini..masa kejadian tu jam 2 pagi balik dari Terengganu ke Mersing...serentak dengan itu bau kemenyan sangat kuat....sebab itu kalau boleh suami akak elakkan melalui jalan ini waktu tengah malam,selalu sangat kejadian-kejadian aneh berlaku disini...kalau nak tahu disini juga arwah Rafeah Buang eksiden dan meninggal dulu



Baca juga artikel dibawah


Pengalaman pelik di Endau-Rompin


                             

KUALA LUMPUR – “Sedang saya berjalan di tengah-tengah dua kumpulan, tiba-tiba mereka hilang dan lebih menghairankan kumpulan yang berada di belakang, air terjun serta laluan trek juga hilang.

“Selama dua hari saya menyerahkan nasib kepada Tuhan dengan bersembahyang dan minum air sungai kerana di situ ada banyak bunyi binatang yang menakutkan selain terserempak dengan harimau kumbang bermata merah.’’

Begitulah cerita Mohd. Suffian Jamil, 29, mengenai pengalamannya tersesat di Taman Negara Endau-Rompin selama dua hari kelmarin semasa dalam perjalanan pulang selepas memancing ikan kelah.

Menurut Mohd. Suffian, dia mula sesat pada pukul 7 malam ketika dia bersama kumpulannya berhenti rehat di satu tempat yang hanya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke pintu masuk taman negara itu.

“Kemudian salah seorang penunjuk jalan mengizinkan sesiapa yang hendak pulang pergi ke kereta masing-masing kerana beranggapan kami tidak mungkin sesat,’’ katanya yang masih trauma ketika ditemui di Selayang dekat sini semalam.

Mohd. Suffian yang dilaporkan hilang kelmarin ketika melakukan aktiviti perkhemahan bersama-sama rakannya di Taman Negara Endau Rompin sebenarnya telah pulang ke rumahnya di Rawang.

Rakan-rakannya yang menyedari mengenai kehilangannya pada pukul 10.30 pagi telah membuat laporan polis hingga menyebabkan satu operasi mencari dilancarkan.

                            
                                           KERATAN Kosmo! 27 Januari.


Mohd. Suffian dan 28 rakan lain termasuk empat penunjuk arah pergi ke taman negara itu kerana di situ terdapat Sungai Kemapan yang terkenal sebagai lubuk ikan kelah dan sangat popular di kalangan kaki pancing.

Menurutnya, sebaik sahaja berjalan pulang selama lima minit selepas memancing, dia mendapati kumpulan yang berada di depannya hilang tiba-tiba. Begitu juga kumpulan di belakangnya.

Dia bertambah pelik apabila mendapati air terjun yang terletak 20 meter di belakangnya juga hilang bersama laluan trek di situ.

“Puas saya berjalan keliling dari pukul tujuh malam sehingga pukul 1 pagi tetapi saya masih juga di situ. Teriakan meminta bantuan tidak mendapat jawapan dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk duduk sahaja di situ,’’ katanya.

Ujar Mohd. Suffian, sepanjang berada di hutan itu, dia mendengar pelbagai bunyi pelik dan ngauman binatang buas dan kerana takut, dia hanya menutup matanya dengan topi.

Sebaik terjaga pukul 6.30 pagi, dia mendapati dirinya berada di tepi sebatang sungai dan ketika itu segala cerita mengenai misteri hutan berlegar-legar di kepalanya.

Setelah itu, dia cuba mencari semula tempat dia dan rakannya terpisah tetapi tidak berjaya. Dia kemudian mendaki sebuah bukit hingga ke puncak dan berjumpa dengan satu laluan trek dan air terjun kecil.

“Ketika sedang berjalan di laluan itu, saya terserempak dengan seekor harimau kumbang hitam sebesar anak lembu dengan matanya berwarna merah tetapi haiwan itu tidak mengganggu saya dan berlalu begitu sahaja.

“Selepas puas berjalan, saya akhirnya berjumpa tiga lelaki yang sedang memancing dan bertanya kepada mereka di manakah pintu masuk Taman Negara Endau-Rompin dan mereka kata di situlah tempatnya.

“Saya terus pergi ke kawasan letak kereta dan memandu kereta Proton Wira ke pekan Rompin untuk makan nasi ayam kerana tidak tahan lapar,’’ katanya.





Catat Ulasan

0 Ulasan